Friday, January 15, 2016

Siratan bertitik tiga " ... "

Fenomena yang merosakkan institusi kebahasaan kian menjadi-jadi kini. Pelbagai jenis tanda baca telah diperkenalkan secara tidak langsung berikutan impak globalisasi. Antaranya dan menjadi trend khalayak ialah tanda tiga titik (" ... "). 

Tanda baca yang tidak diikhtiraf ini dalam diam mencerminkan penggunanya ialah seorang individu yang:

1) Mudah tercuci minda dengan media massa dan kurang bertangungjawab. Sikap terikut-ikut dengan gaya bahasa SMS menampakkan sesetengah pengguna maya kini kian alpa dan meremehkan khazanah bahasa yang diperturunkan. Minda mereka juga mudah tercuci, justeru terpengaruh dengan kaedah komunikasi yang menyesatkan ini tanpa ada rasa perlu untuk berfikir panjang.

Tanpa disedari mereka telah tersubahat dengan initiatif yang meruntuhkan kesenian bahasa serta merendahkan martabat diri. Keadaan ini lebih ketara apabila penggunanya berprofesion sebagai ahli bahasa atau ilmuwan yang bertindak sebaga pendukung kemartabatan bidang bahasa.

2) Tidak yakin dengan buah fikiran dan keupayaan diri. Pengguna seolah-olah ingin menafikan kredibiliti dirinya.  Bayangkan impak fenomena ini jika berlaku dalam transaksi perniagaan dan sesi komunikasi dengan pihak atasan. Ini ialah sebahagian daripada taboo-taboo komunikasi. Semestinya, pembaca atau penerima mesej tidak akan yakin dengan penyampaian tersebut.  

3) Ingin menonjolkan sifat kemalasan yang menguasai diri. "..." bermakna ada sambungan kepada idea atau ayat tadi yang berkemungkinan malas untuk difikirkan atau dicoretkan. Bukankah lebih mudah & efektif untuk akhirkan ayat dengan noktah (single dot) daripada menekan tombol noktah berkali-kali? Tenaga jemari yang mengetuk papan kekunci dan masa pengguna akan dibazirkan.

4) Menganggap perbuatan ini mulia dan boleh merangsang pembaca untuk berfikir. Ini ialah pemikiran yang salah lagi "syok sendiri". Perbuatan ini boleh mendatangkan kesan yang berlawanan dan wajar dijauhi. Pembaca sendiri diundang untuk berpersepsi bahawa penyampainya ialah insan yang malas berfikir atau kurang ikhlas.

"Trend" bahasa yang menyesatkan ini perlu dibendung agar kualiti sesi komunikasi dan keunggulan bahasa warisan terjamin. Apakah kelebihan dalam pengunaan tanda bahasa yang tersimpang ini? Sesungguhnya, sikap berwaspada ketika berbahasa boleh menyelamatkan diri dan mempermudahkan urusan kehidupan.


No comments: