Monday, March 21, 2011

Tsunami , Negara dan Isu Kemanusiaan


Salam sejahtera kepada kesemua pembaca ,

        Acap kali saya membaca penulisan di ruang maya yang berkisahkan bencana alam. Kebelakangan ini, isu tsunami di Jepun bukan lah sesuatu yang baru pada kita semua. Ramai yang tumpang sedih dan berasa kasihan terhadap mangsa- mangsa di negara tersebut, tidak kurang juga ada sesetengah pihak yang mencaci dan beranggapan bahawa negara tersebut wajar (padan muka) menghadapi malapetaka tersebut. " Memang padan muka, negara XXX patut dilanda tsunami . ORANG XXX kejam , berbuat dosa pada alam dan manusia-manusia lain . "


            Apabila wujudnya malapetaka pada negara-negara yang lain, pasti terciptanya suatu susulan daripada sesetengah pihak yang berfikiran bencana tersebut PATUT berlaku . Mereka melabelkan kejadian tersebut sebagai " hukuman daripada-Nya " . Persoalannya ialah mengapa ? Mengapa sesetengah insan suka memburuk -burukkan lagi musibah yang berlaku ke atas insan-insan yang lain ? Perbuatan mereka bagaikan menaruh garam ke atas luka. Inikah hasil pengajaran ibu bapa, hasil menuntut ilmu daripada golongan pendidik dan hasil pendedahan aspek keagamaan (ilmu daripada-Nya) ? Tuhan tidak pernah meminta diri kamu untuk bercakap bagi pihaknya malahan, kamu tidak pernah diseru untuk menentukan siapa yang patut merana dan ditimpa musibah !


        Saya ingin menegaskan bahagian kata-kata " ORANG XXX " . Adakah mereka bermaksudkan kesemua rakyat pada negara itu, termasuk kanak - kanak dan bayi yang baru lahir, yang baru sahaja celik matanya dan memandang dunia ini buat kali pertama ? AWAS pada penggunaan kata - kata anda, berdosa perbuatan anda menyumpah insan-insan yang berhati kudus dan tiada hubungkait langsung dengan hal dunia ini. AWAS, jangan kamu berpendapat kerana wujudnya dosa generasi yang lepas, generasi kini perlu menerima padahnya. Jangan menambahkan dosa pada diri anda ! Jangan meracuni pemikiran golongan muda atas sebab hasad dengki dan dendam pada diri kamu !


            Para pembaca nukilan ini yang bijaksana dan dihormati,  saya berharap kamu boleh meluangkan 2 minit daripada jadual masa kamu yang padat untuk menatap dan merenungkan paparan video di bawah ini.




            Apa bezanya membunuh ikan lumba -lumba dengan membunuh haiwan-haiwan yang lain ? Contohnya , ayam, lembu , kambing dan sebagainya ? Rupa ikan lumba-lumba lebih kasihan ? Pembunuhan haiwan - haiwan lain tidak kejam ? Mungkin kejadian ini jarang dilihat oleh diri anda ? Membunuh tetap membunuh ! Manusia membayar pihak lain untuk melakukan proses yang tersebut dan pada penghujungnya, manusia juga yang mengambil bangkai hidupan tersebut untuk dijadikan sumber makanan. Tidakkah manusia terlibat dan wajar dianggap sebagai komplot untuk hal tersebut ?


          Ya, manusia perlukan makanan untuk terus hidup, saya tidak menafikan perkara ini - tujuan membunuh hidupan lain ialah agar satu / lebih hidupan lain boleh untuk terus bernafas di muka bumi ini. Wujudnya permintaan dan tuntutan , maka proses tersebut perlu dilakukan. Permintaan dan tuntutan itu berasal daripada siapa ? Manusia , bukan ?


          Medium yang dibunuh di sini, bukan lah perkara yang saya titik beratkan. Maksud saya adalah, jangan jadikan peristiwa pada video tersebut ATAU peristiwa lain yang seakan - akan sama , sebagai perkara pokok untuk anda " menjatuhkan hukuman " ke atas mereka - " MEREKA patut dilanda bencana alam dan dicerca !  "


        Jangan jadikan sesuatu isu atau benda lain (video) sebagai batu loncatan untuk agenda anda yang lebih kejam dan jahat (menggalakkan orang lain untuk menyumpah, membuat fitnah, memburukkan nama insan-insan lain dan sebagainya)  ! Tuhan kurniakan " otak " kepada diri kamu agar anda mampu membuat penilaian dan pertimbangan. Lihat lah pada gambaran yang sebenarnya , yang jauh lebih luas. Lihat lah dan berkata lah sebagai SATU umat MANUSIA.



        Lihat lah pada diri anda dan negara anda sendiri , tidak usah membandingkan seorang insan dengan diri insan yang lain, mahupun sebuah negara dengan negara yang lain. Kes bunuh bayi bagaikan kejadian seorang manusia membunuh seekor serangga, dan dibungkus seperti bungkusan makanan lalu dicampakkan dalam tandas atau disembunyikan di kawasan yang kurang dicurigakan. Kes pemimpin yang berwarna - warni (biru , hitam,  kuning, dan sebagainya) , kes rasuah dan kes penyalahgunaan kuasa berlaku setiap hari, setiap jam (mungkin) dan pelbagai lagi kisah yang menjatuhkan air muka umat MANUSIA !


        Beranikah anda berkata bahawa anda LANGSUNG TIDAK TERIBAT dalam mana - mana hal yang disentuh dalam penulisan ini , termasuklah isu pencemaran ?


         Diri anda tidak kurang baiknya berbanding dengan insan-insan yang lain, tetap seorang insan yang kerdil pada-Nya dan berdosa di muka bumi ini. Anda tetap seorang insan yang digelar " manusia " seperti orang lain  , tidak kira di mana anda bernafas, sama seperti orang lain. Jangan lah kamu mengganggap diri kamu berada di atas kedudukan insan - insan yang lain, sebuah hidupan yang lebih agung berbanding dengan spesis yang sama.


        Ingat , kamu sentiasa diperhati oleh-Nya dan diharapkan kamu tidak mengubah atau memanipulasi ajaran daripada-Nya menjadi ajaran atau agama Manusia(kamu sendiri). Akhir kata, maafkan saya seandainya ada pembaca yang terguris hatinya membaca penulisan saya yang kurang sempurna ini. Sekadar satu hasil cetusan pemikiran dan sesuatu untuk dikongsikan bersama . 


ChoyHH

No comments: