Monday, May 10, 2010

Pendermaan Darah (Kriteria, Proses, Nasihat, Keistimewaan, dan FAQ - Frequently Asked Questions )




Salam sejahtera semua,


Nota dan peringatkan utk kempen Menderma Darah yg bakal berlangsung di RPWP 15 Mei ini (Sabtu ini ) :






1) Kriteria Penderma





Penderma darah adalah istimewa. Ini adalah kerana tidak semua orang layak untuk menjadi seorang penderma darah. Terdapat beberapa kriteria yang melayakkan seseorang itu untuk menderma darah. Di antara kriteria yang ditetapkan adalah seperti berikut :



1. Sihat tubuh badan pada hari pendermaan.


2. Berumur di antara 18-60 tahun. · Bagi yang berumur 17 tahun, perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibubapa atau penjaga · Bagi yang berumur 61-65 tahun, perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada doktor mengenai tahap kesihatan badan.

3. Berat badan melebihi 45 kg.


4. Tidur melebihi 5 jam pada malam sebelum hari pendermaan.


5. Tiada masalah kesihatan.


***

6. Tidak mengambil sebarang ubat-ubatan · Tidak mengambil antibiotik dalam tempoh 7 hari sebelum hari pendermaan · Sila rujkuk pegawai perubatan bertugas untuk ubat-ubatan lain.


7. Telah mengambil makanan sebelum menderma darah (tidak berpuasa)


8. Tidak terlibat di dalam sebarang kegiatan berisiko tinggi seperti berikut:

· Hubungan jenis sesama jantina (homoseksual)

· Hubungan jenis dengan kedua-dua jantina (biseksual)

· Hubungan jenis dengan pekerja seks komersial / pelacur

· Bertukar-tukar pasangan hubungan jenis

· Mengambil dadah secara suntikan

· Menjadi pasangan hubungan jenis kepada mana-mana golongan di atas.


19. Pendermaan terakhir sekurang-kurangnya 3 bulan untuk penderma darah penuh (whole blood), dan 2 minggu untuk penderma aferesis (pendermaan utk sel darah putih & platelet shj tanpa sel darah merah).



10.Untuk penderma wanita:

· Tidak mengandung.

· Tidak datang haid.

· Tidak menyusukan anak.


11.Jangan menderma darah jika anda:

· Pernah tinggal di United Kingdom (England, Northern Ireland, Scotland, Wales, Isle of Man atau

Channel Island) atau Republik Ireland dari tahun 1980 hingga 1996 untuk tempoh 6 bulan atau lebih

· Pernah tinggal di benua Eropah dari tahun 1980 hingga sekarang untuk tempoh 6 bulan atau lebih.


2) Proses Menderma Darah


Setiap individu yang menderma darah dengan Pusat Darah Negara (PDN) akan melalui proses pendermaan seperti berikut:



· Mengisi borang PDN3/2000/Pin. 1 atau 2. Sebarang keterangan atau bantuan mengisi borang ini boleh diperolehi daripada kakitangan PDN yang bertugas.


· Menjalani pemeriksaan darah untuk tahap kepekatan sel darah merah (paras hemoglobin) dan mengenal pasti kumpulan darah ABO.


· Melalui sesi soal selidik atau kaunseling pra-pendermaan untuk mengenal pasti sebarang masalah perubatan dan tahap risiko penderma.


· Penderma yang layak menderma akan menjalani proses pengambilan darah (phlebotomy).

· Setelah selesai proses pengambilan darah, penderma akan diberikan sedikit makan dan minuman ringan.

***

3) Nasihat kpd Penderma Darah

Setiap kali selepas menderma darah, anda adalah dinasihatkan untuk memberi perhatian terhadap perkara-perkara berikut:


· 1) Tekan kuat pada bekas cucukan jarum sambil berehat sekurang-kurangnya 10 minit di atas katil sebelum bangun.


· 2) Ambil sedikit minuman dan makanan ringan yang disediakan sebelum meninggalkan tempat pendermaan.



· 3) Ambil sebiji tablet zat besi dan asid folik yang dibekalkan sehari sekali selepas makan. Ini akan membantu anda membina kembali sel-sel darah merah yang telah anda dermakan.



· 4) Berhati-hati semasa memandu atau sewaktu bekerja menggunakan mesin.



· Dalam masa 24 jam selepas menderma:


o Elakkan diri daripada aktiviti-aktiviti sukan atau senaman berat, atau mengangkat barangan yang berat

o Elakkan minuman keras.

o Lebihkan meminum air

o Jika anda mengalami sebarang reaksi atau tindak balas seperti pening atau rasa ingin pitam, baringkan diri anda selama beberapa minit dengan kedua-dua kaki dinaikkan melebihi paras kepala. o Sekiranya anda berasa tidak sihat/selesa, ataupun terdapat tanda lebam, bengkak atau sakit dibahagian yang dicucuk, sila hubungi segera Pegawai Perubatan Pusat Darah Negara di nombor 03-2693 3888 / 03-2695 5564.


4) Keistimewaan Kpd Penderma Darah


Penderma - penderma darah yang menderma di Pusat Darah Negara dan lain - lain Tabung Darah di Hospital Kerajaan adalah layak mendapatkan rawatan percuma seperti di jadual berikut :

· Jadual Keistimewaan Rawatan Penderma Darah di Fasiliti Kesihatan (Hospital, Institusi dan Klinik Kesihatan), Kementerian Kesihatan Malaysia mengikut Surat Pekeliling KPK 5/2005 bertarikh 20 Julai 2005



KEKERAPAN MENDERMA KEISTIMEWAAN RAWATAN

1 kali

Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan (tidak termasuk bayaran X-ray dan pembedahan) dan wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan.

2 kali (dalan tempoh 12 bulan)

Percuma suntikan pencegahan Hepatitis B

2 ~ 5 kali

Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan.

6 ~ 10 kali

Percuma rawatan pesakit luar selama 1 tahun dan rawatan perubatan kelas dua untuk tempoh 6 bulan.

11 ~ 15 kali

Percuma rawatan pesakit luar selama 2 tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 1 tahun.

16 ~ 20 kali

Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 2 tahun.

21 ~ 30 kali

Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 3 tahun.

31 ~ 40 kali

Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 4 tahun.

41 ~ 50 kali

Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 6 tahun.

Lebih 50 kali (bagi penderma“Whole blood”) dan Lebih 150 kali (bagi penderma aferesis)

Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 10 tahun dan wad kelas dua seumur hidup selepas 10 tahun di wad kelas satu.



5) FAQ

S1 Mengapakah saya perlu menderma darah?

J: Setiap hari darah diperlukan untuk menyelamatkan nyawa. Darah mungkin diperlukan untuk pembedahan, mangsa kemalangan atau untuk merawat pesakit leukemia, barah, penyakit jantung, penyakit hati dan hemophilia. Sumbangan anda mungkin menyelamatkan nyawa.



S2 Adakah saya layak untuk menderma darah?

J: Ya. Jika anda berumur 17 tahun ke atas (pengesahan umur diperlukan) dan mempunyai berat badan melebihi 45kg. Pada amnya, pengambilan ubat tidak menjadi halangan untuk menderma darah kerana penerimaan dan penolakan berdasarkan laporan perubatan. Sekiranya anda mengambil sebarang ubat, sila beritahu sebelum menderma darah.



S3 Adakah saya cukup sihat untuk menderma darah?

J: Anda harus cukup sihat jika menderma darah. Kesihatan dan keselamatan anda amat penting bagi kami. Anda akan diminta untuk mengisi borang persetujuan menderma darah di mana sejarah perubatan anda akan disoal. Tekanan darah dan setitik darah akan diambil untuk ujian haemoglobin. Semua maklumat yang diberi oleh anda adalah sulit.



S4 Berapa lamakah masa diambil untuk menderma darah?

J: Proses menderma darah ini akan mengambil masa diantara 7-10 minit, tetapi anda dinasihatkan supaya berada di tempat menderma selama lebih kurang satu jam.



S5 Adakah Jarum itu menyakitkan?

J: Anda cuma berasa sakit sedikit apabila jarum dimasukkan dan tidak lagi selepas itu.



S6 Berapa banyak darah yang akan diambil?

J: Sebanyak 450ml, iaitu kurang dari 1 pain (586ml). Orang dewasa biasanya mempunyai lebih kurang 5 liter (10-12 pain) darah di dalam badan.



S7 Bagaimanakah rasanya selepas menderma darah?

J: Kebanyakan orang merasa selesa selepas menderma darah. Anda dinasihatkan supaya mengambil makanan ringan sebelum menderma darah.


S8 Bolehkah saya melakukan aktiviti sukan selepas menderma darah?

J: Boleh. Cuma elakkan dari melakukan aktiviti yang berat untuk tempoh 5 jam selepas menderma darah. Banyakkan minum air dalam tempoh 24 jam.


S9 Berapakah lama masa yang diambil untuk menggantikan darah yang telah diderma itu

J: Plasma digantikan semula dalam masa 24 jam. Anda perlu minum 4 gelas air tanpa alkohol dan jangan melakukan kerja berat dengan menggunakan tangan anda untuk tempoh 5 jam. Darah merah memerlukan jangkamasa 4-8 minggu untuk digantikan dan anda boleh menderma semula selepas itu.



S10 Apakah yang akan dibuat kepada darah yang telah didermakan itu?

J: Darah anda akan diuji untuk menentukan kumpulan darah, jangkitan virus seperti siflis, hepatitis (B & C) dan AIDS (HIV). Kemudian, disimpan untuk kegunaan pesakit. Darah juga boleh diasingkan kepada beberapa komponen darah dan boleh digunakan untuk merawati lebih dari seorang pesakit.


Sumber :

Laman Web Pusat Darah Negara -


http://www.pdn.org.my/index.php?option=com_content&task=blogcategory&id=3&Itemid=64


No comments: